Menghasilkan produk bukanlah sesuatu yang mudah. Seseorang pengasas atau founder perlu melakukan pelbagai perincian dalam menghasilkan sesebuah produk yang mempunyai permintaan yang tinggi daripada pelanggan dalam meraih penjualan yang tinggi. Mengulas mengenai penjualan yang tinggi, dapat dilihat founder di Malaysia sehingga kini masih lagi menggunakan strategi meningkatkan penjualan produk menerusi penggunaan ejen dropship.
Strategi ini bukanlah sesuatu yang salah, malah sangat baik kerana para pengasas bukan sahaja memperoleh pemasaran yang dilakukan para ejen dropship malah turut dapat kongsi keuntungan bersama. Dalam pada itu, sebelum mendapatkan ejen dropship yang berkualiti sekaligus dapat meningkatkan penjualan produk anda, para founder juga perlu bersiap sedia dalam menyediakan lima strategi penting agar ejen dropship dapat terus setia dalam menjual barangan yang ditetapkan.
#1 Sediakan USP yang kuat
USP atau unique selling point sememangnya memain peranan penting dalam sesuatu produk. USP dalam erti kata lain merupakan ciri khas yang terdapat pada produk berkenaan yang membuatkan produk tersebut tampil berbeza atau menarik perhatian pengguna untuk mendapatkannya.
Produk dengan USP yang kuat atau menjadi keperluan buat pelanggan sekaligus membuatkan produk tersebut dapat dijual dengan mudah. Lebih baik sekiranya produk tersebut sudah diketahui fungsinya buat para pengguna yang secara tidak langsung memudahkan para ejen dropship untuk membuat pemasaran dan menjualnya.
#2 Tingkatkan pemasaran produk atau jenama
Sudah menjadi lumrah di mana para ejen dropship yang berminat untuk menjadi ejen sesuatu produk untuk mendapatkan keuntungan. Oleh yang demikian, sudah pastinya produk yang mudah terjual akan menjadi pilihan. Dalam pada itu, perlu diketahui di mana tugas pemasaran atau marketing bukanlah terletak di bahu ejen dropship sepenuhnya sebaliknya para founder perlu memainkan peranan penting dalam membuatkan orang ramai mengenali sesebuah jenama atau produk.
Sebagai contoh, seseorang pengasas boleh melakukan pemasaran secara besar-besaran mengikut channel atau saluran yang sesuai dalam membuatkan orang ramai mengenali produk tersebut manakala tugas ejen dropship pula adalah memudahkan orang ramai mendapatkan produk tersebut.
#3 Testimoni yang kuat
Dalam mendapatkan sesebuah produk khususnya produk yang diketahui dalam talian, sudah menjadi kebiasaan buat orang ramai mendapatkan testimoni sebelum membuat pembelian. Hal ini bagi meyakinkan seseorang pengguna dalam mendapatkan produk yang berbaloi dan berkesan bersesuaian dengan wang yang dilaburkan. Dalam pada itu, segalanya mungkin akan menjadi sia-sia jika produk yang dihasilkan pengasas mungkin sangat berkesan namun gagal dari sudut menawarkan testimoni untuk bacaan para pengguna.
Hal ini mungkin membuatkan para pengguna berasa tidak yakin atau memilih produk lain yang memaparkan testimoni yang tampak lebih meyakinkan dan mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi. Bukan sahaja testimoni bergambar yang boleh dijadikan testimoni, adalah lebih menarik sekiranya ejen dropship sendiri sudah mencubanya sekaligus memudahkan mereka untuk menyatakan kesan produk berkenaan sepanjang penggunaan. Pastinya para pelanggan akan merasa lebih yakin untuk mendapatkannya.
#4 Terlalu obses dengan keuntungan
Sebagai founder, sudah pastinya keuntungan antara yang dimahukan dan dinilai. Bukan sahaja keuntungan dapat digunakan untuk menjalani kehidupan seharian, keuntungan yang diperoleh juga dapat dimanfaatkan dalam meningkatkan kualiti produk atau mutu syarikat.
Dalam pada itu, sebagai founder, mengetahui keuntungan produk dengan terperinci antara ilmu penting yang perlu diketahui. Lebih baik sekiranya para founder membuat kira-kira terlebih dahulu pengiraan yang dikhaskan buat HQ, ejen dropship, kos logistik dan pelbagai lagi kos lain sebelum melancarkan sesebuah produk.
Tidak ada gunanya sekiranya produk laris terjual sehingga memperoleh jumlah jualan yang besar namun akhirnya sekadar terpaksa berpuas hati dengan keuntungan yang kecil akibat ‘kebocoran’ yang tidak disedari.
#5 Rajin berkongsi rezeki dengan ejen dropship
Menjadi lumrah buat manusia untuk sentiasa dihargai. Begitu juga ejen dropship. Para ejen pastinya mahukan founder yang rajin mengambil berat manakala para founder juga perlu meletakkan para ejen sebagai rakan sekerja berbanding sebanding alat untuk membantu melariskan produk. Salah satu cara yang boleh digunakan untuk para founder dalam menghargai para ejen adalah memberi hadiah kepada para ejen. Hadiah yang dimaksudkan boleh sahaja diberi kepada ejen dropship yang berhempas pulas mencapai jumlah jualan yang ditetapkan.
Perkara ini sekaligus dapat meningkatkan motivasi para ejen dropship untuk terus bekerja keras dalam mendapatkan hadiah lain yang dijanjikan. Selain itu, para founder juga dinasihatkan untuk turun ke lapangan atau bersama dengan ejen dropship dalam mengetahui maklum balas daripada para pelanggan dalam menawarkan produk yang lebih baik sekaligus menjadi pilihan para pelanggan. Diharap perkongsian ringkas ini dapat membuka mata atau menjadi petunjuk buat para founder dalam mendapatkan ejen dropship yang berkualiti serta dapat meningkatkan angka jualan syarikat.