Negara Bergolak Tapi Maju: Bagaimana Ekonomi Israel Makmur?

Bagi sebuah negara kecil, Israel ternyata telah melangkaui potensi mereka. Dari aspek ekonomi, Israel terkenal sebagai salah satu hab global untuk inovasi dan keusahawanan teknologi.

Dalam artikel ini, kita akan menyelami dari mana sumber kreativiti dan keusahawanan bangsa Yahudi di negara kecil ini berpunca. Kita juga akan mendalami sejarah syarikat-syarikat Israel yang membuktikan kejayaan mereka berpaksi kepada budaya kerja yang boleh kita contohi.

Iklim ekonomi Israel mesra syarikat pemula

Di Malaysia, Israel mungkin dikenali sebagai sebuah negara pencabul hak asasi manusia – spesifiknya terhadap rakyat Palestin. Sentiasa berada dalam konflik dengan Hamas dan Hizbullah. Sentiasa diancam oleh kuasa nuklear Iran. Sentiasa mendapat kecaman dari dunia Muslim seantero dunia.

Untuk pengetahuan anda, Israel berada di tangga pertama dalam senarai negara yang memperuntukkan bajet terbesar dalam bidang kajian dan penyelidikan (R&D). Polisi ekonomi ini mempunyai kesan langsung. Satu daripada 1,844 orang Israel mempunyai syarikat pemula (startups) sendiri. Pada tahun 2022, Israel merupakan hab syarikat pemula ketiga terbesar di dunia. Sangat mengagumkan bagi sebuah negara yang hanya berpopulasi 8 juta orang.

Embed from Getty Images

Syarikat teknologi seluruh dunia sentiasa mempunyai Israel dalam radar mereka. Cisco, sebagai contoh, telah membeli sembilan syarikat pemula Israel dan tiada niat untuk berhenti.

Syarikat-syarikat pemula Israel juga telah menarik sejumlah besar modal urus niaga (venture capital, VC). Pada tahun 2008, modal urus niaga per kapita di Israel 2.5 kali lebih besar berbanding Amerika Syarikat, 30 kali lebih besar berbanding Eropah dan 80 kali lebih besar daripada China.

Belum cerita saiz kehadiran mereka di NASDAQ lagi. Jumlah syarikat Israel yang tersenarai di NASDAQ lebih banyak berbanding jumlah syarikat seluruh Eropah.

Jadi bagaimana sebuah negara yang sentiasa berada dalam konflik boleh menjadi salah satu hab kreativiti, inovasi dan keusahawanan dunia?

Bukankah untuk menggalakkan bisnes menjadi makmur, negara kena aman makmur?

Budaya ‘bergaduh’ Israel

Bagi sebuah negara kecil, Israel memang nampak seperti sebuah negara yang suka bergaduh. Salah satu sebabnya adalah kerana ia memang perangai semulajadi bangsa Yahudi. Kedegilan bangsa Yahudi sangat sinonim sehinggakan ia didokumentasikan dalam kitab Taurat dan al-Quran.

Pada tahun 2008, PayPal membeli Fraud Sciences – sebuah syarikat pemula Israel yang cuba menyelesaikan masalah penipuan pembayaran online. Scott Thompson, presiden PayPal pada ketika itu, menceritakan perangai staf Fraud Sciences semasa perjumpaan kali pertama sangat mengejutkannya. “Baru kali pertama jumpa, mereka dah cabar keberkesanan kaedah Paypal mengesan penipuan,” cerita Thompson.

Di Israel, perangai ini mempunyai satu perkataan khas dalam bahasa Hebrew. Namanya chutzpah. Ertinya berani mencabar. Bagi orang Israel, chutzpah satu benda yang normal. Tak kiralah di rumah, sekolah, mahupun di hierarki tentera, chutzpah dibenarkan; malah dialu-alukan.

Embed from Getty Images

Orang Israel sangat suka mencabar hierarki. Anda takkan mahu jadi orang atasan kalau duduk di Israel. Dalam ranking Power Distance Index yang mengukur tahap hormat orang bawahan terhadap orang atasan, Israel menduduki tangga kedua terbawah dengan skor 13. Malaysia antara tertinggi di dunia dengan skor 100.

Sikap mencabar orang atasan di Israel sangat jelas sehinggakan dalam tentera Israel, staf atasan sengaja dibiarkan tak cukup jumlahnya. Ini untuk menggalakkan staf bawahan mengambil lebih banyak inisiatif sendiri dan tanggungjawab lebih besar. Budaya ketenteraan Israel yang mewajibkan semua rakyat masuk tentera turut membolehkan chutzpah berleluasa. Dalam hierarki tentera, pemandu teksi boleh memberi arahan kepada jutawan. Orang muda boleh memberi arahan kepada orang tua.

Budaya ketenteraan Israel

Disebabkan setiap rakyat Israel wajib berkhidmat dalam tentera untuk minimum dua tahun, budaya ketenteraan seakan sebati dalam fabrik sosial mereka. Tanpa sedar, ia juga memupuk budaya keusahawan. Hmm..budaya ketenteraan memupuk budaya keusahawanan? Bagaimana?

Di Israel, semua remaja 17 tahun mesti melaporkan diri ke pusat rekrut tentera untuk menjalani ujian penskrinan psikologi dan penilaian kesihatan. Siapa yang mendapat skor tinggi akan diserap masuk dalam unit tentera paling elit: Unit Talpiot.

Kadet Talpiot akan dimasukkan dalam kursus fast-track sarjana muda dalam jurusan fizik atau matematik. Jika orang lain belajar sarjana muda selama 4 tahun, kadet Talpiot belajar sarjana muda selama 2 tahun. Pada masa yang sama, mereka akan didedahkan dengan disiplin teknologi yang diperlukan unit tentera lain seperti biologi, kimia, statistik, psikologi dan perniagaan. Ini supaya mereka boleh berkhidmat sebagai pemimpin yang versatil dan boleh memimpin mana-mana unit tentera lain.

Embed from Getty Images

Walaupun latihan Talpiot direka untuk membentuk tentera elit, pengalaman dan ilmu yang setiap kadet dapat sangat berguna apabila mereka memimpin syarikat pemula baharu. Tak hairan untuk menemui kebanyakan CEO syarikat pemula Israel pernah bergelar kadet Talpiot ketika berada di tentera.

Disebabkan semua rakyat Israel wajib menjalani latihan ketenteraan, ia turut mendedahkan golongan muda mereka kepada pelbagai bangsa, latar belakang ekonomi dan agama. Yahudi Eropah kena bekerjasama dengan Yahudi Afrika. Imigran generasi pertama yang miskin kena bekerjasama dengan anak watan tiga generasi. Ketika di tentera lah, jaringan sosial bakal-bakal usahawan ini dibentuk.

Dua lonjatan ekonomi Israel

Sejarah ekonomi Israel berpaksikan kepada dua lonjatan tinggi hasil inisiatif kerajaan. Pertama ketika tempoh 1948-1970. Kedua, ketika empoh 1990-2018. Dua lonjatan inilah yang menukar status Israel sebagai negara dunia ketiga kepada negara maju.

Pada lonjatan pertama, beberapa komuniti kibbutz dibentuk oleh kerajaan Israel untuk membawa majoriti rakyatnya keluar dari garis kemiskinan tegar. Dalam konteks Malaysia, kibbutz mempunyai persamaan dengan FELDA.

Contohnya, kibbutz Hatzerim di wilayah Negev. Penduduk di situ mendapati tanah mereka terlalu bergaram untuk dijadikan kawasan pertanian. Untuk menyelesaikan masalah, komuniti kibbutz Hatzerim membasahkan tanah dengan aliran air deras. Hasilnya? Tanah mereka menjadi subur. Usaha kibbutz ini pada 1965 telah menjadi titik pangkal penubuhan syarikat Netafim, pakar pengairan dan saliran pertanian global ketika ini.

Embed from Getty Images

Pada lonjatan kedua, kerajaan Israel menubuhkan inisiatif Yozma pada 1993. Yozma merupakan program insentif cukai kepada pelabur asing untuk menubuhkan syarikat pemula di Israel. Sebagai balasan, kerajaan Israel akan menggandakan modal syarikat asing ini. Program ini menjadi titik pemula kebanjiran syarikat Amerika Syarikat bertapak di Israel dan menaikkan pendapatan industri IT Israel dari USD1.6 billion kepada USD12.5 bilion dalam masa 10 tahun.

Dasar imigrasi Israel

Israel merupakan negara yang mendapat manfaat dari dasar imigrasi yang liberal. Anda boleh menikmati makanan Rusia, Turki, Arab, Eropah dan Ethiopia di mana-mana lorong di Tel Aviv.

Kita ambil satu contoh, penghijrahan pendatang Rusia pada era 90-an. Kejatuhan Soviet Union menyebabkan kebanjiran pendatang Rusia, majoritinya golongan profesional seperti pemegang PhD, jurutera dan saintis Yugoslavia. Kedatangan mereka kena pula dengan tempoh kemakmuran ekonomi Israel yang sangat memerlukan banyak jurutera dan saintis.

Israel turut menawarkan pelbagai insentif kepada rakyatnya yang berbakat di luar negara untuk pulang ke Israel. Antara insentifnya: tanah dan bon untuk anak-anak aset negara mereka. Contohnya seperti apa yang berlaku kepada bekas Pengarah Kejuruteraan Cisco, Michael Laor. Pada 1997, Laor mengambil keputusan untuk balik Israel selepas ditawarkan tanah dan bon oleh kerajaan Israel.

Terdesak untuk mengekalkan staf cemerlang mereka, Cisco mengambil keputusan untuk membina pusat R&D untuk Laor bekerja di Israel. Pusat R&D tersebut membuka 700 pekerjaan baharu kepada rakyat Israel dan memberi dana pelaburan sebanyak USD1.2 bilion. Sangat menguntungkan memandangkan modal kerajaan Israel hanyalah sebidang tanah 1 ekar dan 3 bon bernilai USD1,000 kepada 3 anak Laor.

Situasi geo-politik

Lokasi Israel di Timur Tengah mungkin nampak satu kekurangan besar bagi kita. Tetapi Israel berjaya menukar kekurangan ini kepada kelebihan. Bagaimana?

Dengan melabur besar dalam bidang R&D.

Disebabkan masalah politik mereka, orang Israel tidak boleh berjalan-jalan ke negara jiran (sehinggalah tahun 2008). Boikot ekonomi dari negara-negara Arab memaksa Israel mengimport barang-barang keperluan dari negara-negara lebih jauh di Eropah. Begitu juga dengan eksport.

Terima kasih kepada pelaburan besar kerajaan mereka dalam bidang R&D, Israel ada kebolehan untuk mengeksport produk-produk berteknologi tinggi seperti senjata, produk IoT (Internet of Things), fintech dan big data berbanding hasil kilang dan pertanian.

Kesimpulan

Sekarang kita dah tahu mengapa ekonomi Israel boleh makmur di sebalik kekurangan mereka dari segi geografi dan politik. Jawapan kejayaan mereka boleh dijumpai dari sejarah, budaya dan kesanggupan mereka untuk menjadi anjal mengikut situasi geo-politik semasa.

Bacaan Lain Untuk Anda