Industri produk kosmetik sangat, sangat kompetitif, tetapi masih menguntungkan. Kek pasarannya sangat besar, jadi sebagai peniaga dalam niche ini, anda boleh berpuas hati dengan potongan kek yang kecil sebenarnya.
Menurut Statista, pasaran kosmetik Malaysia sentiasa mencatatkan perkembangan sejak mula data direkodkan pada 2019. Pada 2022 jumlah pendapatan keseluruhan industri adalah sebanyak RM12.5 bilion. Kadar pertumbuhan pula dijangka sebanyak 4.07% setahun. Laporan lain dari GlobalData pula menunjukkan bahawa industri kosmetik dijangka mempunyai kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 5.8% dari tahun 2019 hingga 2024, diikuti oleh penjagaan kulit dan kebersihan mulut dengan kadar pertumbuhan tahunan masing-masing sebanyak 5.6% dan 5.4%.
Industri kosmetik Malaysia menunjukkan potensi yang besar kerana pertumbuhan industri ini didorong oleh pendapatan per kapita yang tinggi dalam kalangan rakyatnya. Golongan M40 dan T20 merupakan pelanggan tegar produk kecantikan dan penjagaan diri, sekaligus meningkatkan permintaan terhadap produk yang berkualiti tinggi dan berpatutan.
Permintaan terhadap produk kosmetik Malaysia juga semakin meningkat hasil pengaruh pengiklanan dan pengaruh sosial media.
Dengan berkembangnya industri e-dagang di Malaysia, yang pendapatannya, seperti yang diungkapkan oleh GlobalData, mencapai RM33.1 bilion pada tahun 2021 dan dijangka mencapai US$64.5 bilion pada tahun 2025, pengaruh sosial media dan nasihat dari pakar memacu permintaan terhadap produk kosmetik dan kebersihan. Ini memberikan peluang yang besar kepada syarikat-syarikat baru untuk memasuki industri ini.
Untuk mendapat sebahagian daripada kek pasaran ini, adalah penting untuk anda mengenali karakteristik pelanggan produk kosmetik sebelum mula mengeluarkan modal membeli stok. Berikut merupakan 10 yang utama:
1. Rutin kompleks
Ramai pelanggan produk kosmetik mempunyai rutin penjagaan kulit yang kompleks melibatkan pelbagai produk dan langkah. Mereka sering menikmati membincangkan rutin mereka dan berkongsi produk kegemaran mereka dengan orang lain.
2. Kesetiaan tinggi
Pengguna produk kecantikan seringkali mempunyai kesetiaan yang kuat terhadap produk kegemaran mereka. Walaupun ada bukti yang menunjukkan produk tersebut tidak berkesan, mereka mungkin akan terus menggunakannya dan mempromosikannya.
3. Pengguna lelaki meningkat
Secara tradisina, industri ini dipasarkan kepada wanita. Tetapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, telah berlaku peningkatan permintaan kaum lelaki terutamanya dalam segmen e-dagang.
Menurut laporan oleh Euromonitor International, pada tahun 2020, pasaran kecantikan dan penjagaan peribadi global melihat peningkatan sebanyak 6.5% dalam produk penjagaan lelaki, dan 60% lelaki melaporkan penggunaan produk penjagaan kulit setiap hari.
4. Gen Z berpengaruh
Dari segi umur, industri ini menyasarkan pelbagai kumpulan umur. Generasi muda, terutamanya generasi millennial dan Gen Z, sangat mempengaruhi trend dan membentuk industri ini. Demografik ini lebih cenderung dipengaruhi oleh media sosial dan lebih terbuka untuk mencuba produk baru dan bereksperimen dengan penampilan yang berbeza.
5. Harga memainkan peranan
Harga adalah faktor penting lain dalam keputusan pembelian pengguna dalam industri kecantikan. Pengguna mungkin sanggup membayar premium untuk produk mewah high-end tetapi juga mencari pilihan yang mampu milik yang memberikan nilai untuk wang. Kepekaan harga boleh dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti bajet pengguna, nilai produk yang dilihat, dan persaingan pasaran.
5. Kualiti faktor terpenting
Kualiti produk adalah faktor penting dalam industri kecantikan. Pengguna mengharapkan produk berkualiti tinggi yang menepati janji mereka dan memberikan hasil yang diinginkan. Kualiti boleh dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti bahan-bahan yang digunakan, proses pembuatan, dan pengujian serta pensijilan produk.
6. Influencer marketing
Pengaruh sosial juga boleh mempengaruhi keputusan pembelian pengguna dalam industri kecantikan secara signifikan. Pengguna mungkin dipengaruhi oleh cadangan daripada rakan dan keluarga, serta pengaruh media sosial dan selebriti. Ini boleh menjadi sangat penting bagi generasi yang lebih muda, yang lebih cenderung dipengaruhi oleh media sosial.
7. Permintaan produk kosmetik semulajadi meningkat
Trend ini merujuk kepada produk kosmetik yang dibuat dengan bahan-bahan semula jadi yang tidak beracun dan bebas daripada bahan kimia berbahaya. Pengguna semakin prihatin tentang bahan-bahan dalam produk kecantikan mereka dan mencari produk yang lebih baik untuk kesihatan mereka dan alam sekitar. Trend ini mempengaruhi tingkah laku pengguna dan mendorong permintaan untuk produk kecantikan bersih.
8. Mesra alam
Kelestarian menjadi keutamaan utama bagi pengguna dalam industri kecantikan. Pengguna mencari produk kosnmetik yang dihasilkan dengan cara yang mesra alam dan dibungkus dalam bahan yang boleh diperbaharui. Trend ini mendorong inovasi dalam pembangunan produk dan pembungkusan dan menggalakkan syarikat untuk mengamalkan amalan yang lebih lestari sepanjang operasi mereka.
9. Produk inklusif
Inklusiviti adalah trend yang semakin berkembang dalam industri kecantikan. Pengguna mencari produk kosmetik yang memenuhi pelbagai jenis tona kulit, tekstur rambut, dan identiti jantina. Trend ini mendorong peningkatan representasi dan kepelbagaian dalam pengiklanan dan pembangunan produk dan menggalakkan syarikat untuk menjadi lebih inklusif dalam mesej dan penjenamaan mereka.
10. Menepati moral kompas pengguna
Jenama produk kosmetik yang menepati moral kompas penggunanya akan mendapat aset paling berharga dalam industri ini: kesetiaan pelanggan. Sebagai contoh, jenama yang menunjukkan penghargaan kepada staf, sensitif dengan kebajikan ejen & stokis serta aktif dalam aktiviti CSR adalah antara nilai moral yang amat disukai pelanggan niche ini.