TLDR: Kes menjadi viral apabila pengasas jenama Asyalliee Scarves, Asyalliee Ahmad sendiri bertindak menjual stok tudungnya walaupun sudah mempunyai sistem ejen. Masalah berpunca kerana tiada komunikasi antara pihak HQ dengan ejen.
Latar belakang
Asyalliee Scarves merupakan jenama tudung butik yang diasaskan oleh personaliti media sosial terkenal, Asyalliee Ahmad. Asyalliee Scarves merupakan produk pertama di bawah Asyalliee Group.
Mula membuat debut dalam pasaran fesyen muslimah Malaysia 14 April 2021, Asyalliee Scarves mengeluarkan 40 warna tudung shawl premium chiffon sebagai permulaan.
Satu-satunya kaedah pengedaran Asyalliee Scarves pada ketika itu adalah sistem ejen dan stokis. Ini bermakna untuk membeli, pelanggan perlu menghubungi ejen. Ejen dan stokis pula perlu membeli stok dari HQ sebagai syarat menjual produk ini.
Kenapa Asyalliee viral
Asyalliee Scarves menjadi viral atas sebab yang salah apabila HQ bertindak menjual sendiri stok tudung mereka secara terus kepada pelanggan.
Tindakan HQ yang melanggar sistem pengedaran produk yang mereka tetapkan sendiri sejak hari pertama membuatkan barisan ejen tidak berpuas hati.
Mengapa ejen tidak berpuas hati? Kerana ejen-ejen ini telah mengeluarkan wang sendiri untuk membeli stok. Apabila HQ bertindak menjual sendiri stok, ia menyebabkan ejen sukar untuk menghabiskan stok.
Isu mula menjadi viral di TikTok apabila beberapa ejennya mendedahkan isu kepada umum sekitar September 2022 (video-video ini kini telah dipadam). Isu ini kemudiannya dikongsi oleh pengguna media sosial lain di Instagram dan Facebook.
Asyalliee Ahmad tampil membuat kenyataan pertama di TikTok pada 21 September 2022.
@asyallieeahmad08♬ original sound – Asyalliee Ahmad ♡
Dalam video tersebut, beliau tampil menjelaskan apa yang berlaku. “Kenapa benda ni boleh terjadi adalah disebabkan saya ada stok tudung yang sangat-sangat banyak, stok bekulah. Jadi kesilapan saya yang paling besar adalah saya tak beritahu mereka (ejen) awal-awal tentang apa yang saya nak buat.”
“Dan lagi satu kesilapan saya adalah saya anggap ramai dah berhenti jadi ejen saya. Sebab yang restock sekarang pun dalam 2-3 orang sahaja. So saya anggap ramai (ejen) dah berhenti, dah tak promote tudung saya.”
Menurut Asyalliee atau nama sebenarnya Siti Syasya Rosaelmi Ahmad, beliau hanya sedar apabila ejen-ejennya memberitahu (pada malam 20 September 2022) dalam Telegram group yang mereka masih memegang (dan sedang menjual) stok tudung Asyalliee Scarves.
Sedar dengan kesilapannya yang tidak berkomunikasi dengan ejen, Asyalliee bertindak membeli semula stok ejen-ejennya untuk memperbetulkan kesilapannya. “Kemudian saya akan tutup sistem ejen dan fokus kepada sistem retail 100%,” tambah beliau lagi.
Pengajaran yang kita boleh ambil
1. Komunikasi antara HQ dan ejen
Untuk memastikan sistem ejen berjaya, HQ perlu sentiasa berkomunikasi dengan ejen – terutamanya dalam segala keputusan yang membabitkan pemasaran dan pengedaran produk.
Kebiasaannya HQ akan mengumpulkan semua ejen dalam satu Telegram/WhatsApp group untuk berkomunikasi. Tetapi kekurangan cara ini adalah bukan semua ejen ada masa memeriksa dan mengikuti perkembangan dari HQ dalam group.
“Follow up lah ejen satu-satu,” anda mungkin cadang. Ia satu cadangan yang baik – jika anda hanya mempunyai 10-20 ejen. Kalau ada 100? 200? 300? Sanggupkah anda untuk menghubungi 200-300 ejen anda di seluruh negara satu-satu?
Kelemahan ini boleh diperbaiki oleh point kedua di bawah.
2. Sistem order perlu sistematik
Assumption is the mother of all mistakes. Kesilapan terbesar Asyalliee dalam isu ini adalah beliau menyangka ejennya sudah berhenti menjual tudungnya kerana mereka dah lama tak restock.
Jangkaan Asyalliee ternyata meleset. Sejurus selepas HQ membuat keputusan untuk menjual terus stok kepada pelanggan, ejennya tidak mengambil masa lama untuk menjadikan produknya ‘viral’.
Kesilapan Asyalliee ini boleh diselesaikan jika setiap keputusannya disandar dengan data. Data boleh dibaca jika setiap pesanan ejen direkod dalam satu sistem order yang sistematik.
3. Kebertanggungjawaban Asyalliee dipuji
Jika ada satu perkara yang Asyalliee lakukan dengan betul dalam isu viral ini adalah kebertanggungjawaban terhadap kesilapannya.
Pertama, beliau mengaku kesilapannya. Kedua, beliau memohon maaf dengan ikhlas. Ketiga, beliau memperbetulkan kesilapannya dengan membeli semula stok ejen-ejennya. Ini tiga langkah yang anda boleh belajar dan ikuti dari Asyalliee sebagai pemilik bisnes jika terpalit dengan PR disaster.
4. Ejen tak perlu beli stok
Isu ini mungkin menyedarkan kita tentang kelebihan sistem ejen yang tak perlu membeli stok. Dalam sistem ini, ejen tiada risiko modal hangus angkara stok tak terjual. HQ pula tidak berdepan dengan risiko amarah ejen jika hal sebegini berlaku.
Bagaimanapun pilihan Asyalliee untuk terus menutup sistem ejen dan terus menjual tudungnya secara retail kepada pelanggan adalah langkah yang baik juga. Pilihan ini subjektif. Dalam kes Asyalliee, tindakan ini dibuat untuk menjaga kesihatan mentalnya.
@asyallieeahmad08 Pause untuk baca okay 🤍 Alhamdullilah hampir nak selesai issue dengan agent @Asyalliee Group | Hijab Bestie ♬ Untukmu Aku Bertahan – Afgan
Apa pandangan anda mengenai sistem ejen yang mewajibkan ejen membeli stok dahulu?
Kongsikan pandangan anda di bahagian komen 👇