Pengurusan Yang Cekap Kunci Kejayaan ZulHijrah Takaful Agensi

ZulHijrah Takaful Agensi merupakan sebuah syarikat agensi insuran Takaful Ikhlas yang beroperasi di Seberang Jaya, Pulau Pinang. Agensi ini ditubuhkan pada tahun 2015 oleh Zulkarnain Hassan, iaitu seorang bekas pengurus bank yang mengambil keputusan untuk berhenti bekerja dan menubuhkan agensi ZulHijrah Takaful Agensi.

Pada permulaan penubuhannya, ZulHijrah hanya mempunyai dua orang pekerja sahaja, tetapi kini ia mempunyai lima orang pekerja dan juga 42 orang ejen. Selain itu, agensi ini turut menguruskan lebih dari 1000 orang pelanggan yang terdiri dari pelanggan perseorangan, berkumpulan dan juga agensi.

zulhijrah takaful agensi 1

Antara kejayaan yang dicapai oleh ZulHijrah Takaful Agensi sepanjang tujuh tahun sejak penubuhannya ialah MDRT Aspirant Achiever, Top Group Agency Manager dan juga turut terlibat dengan beberapa konvensyen di luar negara.

Bagi menguruskan kesemua pekerja, ejen dan juga pelanggan mereka, ZulHijrah Takaful Agensi menggunakan sistem Portal Partners yang disediakan oleh Takaful Ikhlas Family Berhad. Sistem ini bukan sahaja dapat menguruskan data pelanggan dengan lengkap, malah ia juga dapat menguruskan aktiviti harian yang dilakukan oleh ejen seperti temu janji dengan pelanggan dan juga sebut harga untuk prospek.

Dengan adanya portal semua dalam satu ini, pengurusan syarikat menjadi lebih mudah dan produktivi juga meningkat kerana portal ini turut dapat merekodkan hasil jualan yang dibuat secara harian dan juga komisen yang perlu di bayar kepada ejen. Pembayaran komisen kepada ejen dilakukan secara bulanan untuk tempoh 72 bulan ataupun 6 tahun. Nilai kadar komisen bergantung kepada jumlah caruman atau sumbangan peserta-peserta Takaful mengikut struktur seperti berikut;

  • Tahun 1 – 40 %
  • Tahun 2 – 30%
  • Tahun 3 – 20%
  • Tahun 4 – 15%
  • Tahun 5 – 10%
  • Tahun 6 – 10%

ZulHijrah Takaful Agensi menggunakan kaedah pemasaran dengan menawarkan nasihat kewangan secara bersemuka atau panggilan telefon dengan prospek. Selain itu, mereka turut menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, LinkedIn dan Tik Tok untuk memberikan penerangan tentang perkhidmatan yang mereka tawarkan.

Tidak dapat dinafikan yang kunci kejayaan ZulHijrah Takaful Agensi dalam tempoh yang singkat adalah pengurusan yang cekap dengan dibantu oleh sistem Portal Partners untuk menguruskan hampir kesemua aspek data ejen dan juga pelanggan. Dengan menggunakan sistem ini, banyak masa dapat dijimatkan kerana tidak perlu lagi merekodkan kesemua data secara manual. Malah, bukan sahaja untuk merekodkan data, sistem ini juga dapat melakukan pengiraan komisen untuk ejen dan juga pembayaran komisen secara automatik. Jadi masa yang dijimatkan itu, boleh digunakan sepenuhnya untuk fokus kepada pemasaran dan juga memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang betapa pentingnya mempunyai perlindungan insuran.

Boleh dikatakan yang kunci kejayaan kepada sesebuah perniagaan sama ada besar atau kecil ialah pengurusan yang cekap dengan menggunakan sistem yang dapat membantu merekodkan jualan, mengira stok, menguruskan pekerja dan juga mengira dan membayar komisen kepada ejen jualan. Walaupun anda tidak akan berpeluang untuk menggunakan Portal Partners yang dibangunkan oleh Takaful Ikhlas Family Berhad jika perniagaan anda bukan di dalam bidang insuran, tetapi anda masih boleh menggunakan sistem lain yang mempunyai keupayaan yang hampir sama atau lebih baik lagi di dalam menguruskan kesemua aspek perniagaan.

 

Bacaan Lain Untuk Anda