Law of Attraction: Bila Founder Ajar Ejen Cara Jadi Kaya

Law of Attraction – jika anda pernah dengar mengenainya, besar kemungkinan anda ada bisnes sendiri. Atau mempunyai kawan-kawan yang mempunyai bisnes sendiri. Ia adalah latihan ‘gimnastik mental’ yang mengajar anda untuk ‘menarik’ perkara-perkara positif (kaya, sihat, dapat kahwin contohnya) dengan berfikiran positif.

Kalau anda tak pernah dengar tentang Law of Attraction, kami nak bagi sneak peek. Dalam bentuk ekstrim, ia nampak macam ini:

Manakala dalam bentuk halus, ia nampak macam ini:

Sekarang anda dah tahu serba-sedikit tentang Law of Attraction. Mari kita selami mengapa ia popular dalam budaya keusahawanan di Malaysia dan mengapa ia dikritik.

Berpunca dari buku

Konsep Law of Attraction pertama kali muncul dalam media bercetak menerusi buku ‘The Secrets’ tulisan penulis Australia, Rhonda Byrne.

Dalam The Secret, Byrne mendakwa cara berfikir boleh mengubah hidup secara langsung. Kata kuncinya adalah secara langsung. “We are like magnets – like attract like. You become and attract what you think,” tulis Byrne.

Beliau menulis, jika anda nak kaya, anda kena berniat, percaya dan membayangkan anda akan kaya dulu. Barulah perjalanan anda menjadi kaya dipermudahkan. Jika anda nak dapatkan 100 jualan hari ini, anda kena berniat, percaya dan membayangkan anda akan dapat 100 jualan dulu. Barulah senang nak buat jualan. Kalau tak niat, percaya dan bayangkan, jualan susah masuk.

Byrne mendakwa dengan berniat, percaya dan membayangkan perkara-perkara positif, hidup anda akan menarik perkara-perkara positif. Jika anda berniat, percaya dan membayangkan perkara-perkara negatif, sebaliknya akan berlaku. Menurut Byrne, fikiran dan kata-kata positif menghasilkan getaran yang menghasilkan ‘frekuensi positif’ yang menarik elemen-elemen positif di alam semesta.

Untuk menguatkan hujahnya, Byrne memberi beberapa anekdot. Contohnya apabila anda teringatkan seseorang, secara tiba-tiba individu tersebut muncul di depan pintu rumah.

Atau apabila anda membayangkan akan akan dimarahi boss kerana tidak menyiapkan tugasan, ia benar-benar terjadi apabila anda tiba di pejabat.

Atau apabila anda kekurangan duit dan terfikirkan tentang kesedihan dan kesusahan, maka anda ditimpa situasi negatif seperti kereta rosak atau kawan minta hutang.

Selepas mendapat apa yang dihajati, Byrne juga menekankan kepentingan bersyukur. Jika tidak, perkara-perkara positif yang anda hajati takkan berulang lagi.

Dalam erti kata lain, Byrne mengajar pembacanya mempunyai kebolehan untuk mengubah takdir hidup sendiri. Apa yang mereka kena buat adalah – niat, percaya, bayangkan dan bersyukur. Mudah sahaja.

Mengubah hidup usahawan

Tak susah untuk mencari punca mengapa ajaran Law of Attraction popular dalam kalangan komuniti usahawan. Bukan sahaja di Malaysia, malah seluruh dunia. Buku The Secret telah diterjemah ke dalam 50 bahasa dan terjual melebihi 30 juta salinan. Popularitinya mencapai puncak apabila Byrne diundang dalam The Oprah Winfrey Show untuk mempromosi buku, filem dan barangan The Secret.

Di Malaysia, isi ajaran Law of Attraction kerap dijenamakan semula oleh pakar-pakar motivasi bisnes menjadi nama-nama seperti Magnet Rezeki, Neuro Linguistic Programming (NLP), Hukum Tarikan, Kuasa Minda dan sebagainya.

Laluan usahawan ke arah kejayaan sememangnya sunyi, penuh dengan kesukaran, dugaan dan pancaroba. Memang masuk akal sangat apabila usahawan-usahawan cenderung menyertai program-program motivasi bisnes untuk mendapatkan validasi pilihan kerjaya mereka dan menambah motivasi.

Menerusi Law of Attraction, usahawan diajar setiap kata-kata atau perkara yang terdetik di fikiran itu adalah doa – tak kira baik atau buruk. Anda boleh nampak betapa berkuasanya pemahaman ini kepada usahawan. Ia memberi ‘kuasa’ kepada usahawan bahawa mereka boleh berjaya atas kawalan diri mereka sendiri. Masa depan mereka ditentukan oleh cara mereka berfikir.

Law of Attraction di Malaysia

Uniknya di Malaysia, Law of Attraction yang diajar oleh pakar motivasi bisnes kepada founder produk kepada barisan ejen, kebanyakannya telah disesuaikan dengan nilai-nilai Islam.

Penyesuaian pertama adalah menerusi validasi dari dua potong ayat Al-Quran: surah Al Ghafir ayat ke-60…

Screenshot 2022 12 06 at 1.24.51 PM

…dan surah Az Zaariyat ayat ke-23.

Screenshot 2022 12 06 at 1.24.31 PM

Penyesuaian kedua adalah menerusi lima perkataan pertama hadis sahih dari Abu Hurairah RA yang berkata:

Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah telah berfirman: Aku selalu mengikuti sangkaan hambaKu, dan Aku selalu menyertai dia di mana ia ingat kepadaKu. Demi Allah, sungguh Allah lebih senang menerima taubat hambaNya dari seorang yang mendapat kembali barangnya yang hilang. Dan barangsiapa yang mendekat kepadaku sejengkal, aku mendekat kepadanya sehasta. Dan siapa yang mendekat kepadaku sehasta, Aku mendekat kepadanya sedepa. Dan bila ia datang kepadaku berjalan, Aku datang kepadanya dengan berjalan cepat (HR. Bukhari dan Muslim).

Dalam erti kata lain, di Malaysia, ejen-ejen diajar oleh founder produk supaya…

1. Berdoa (niat, percaya, bayangkan)
2. Sentiasa bersangka baik, tak boleh bersangka buruk/mengumpat dsb
3. Bersyukur

…untuk menarik kebahagiaan dalam diri. Bila diri sendiri bahagia, barulah Allah SWT makbulkan doa anda.

Menyimpang ajaran Islam?

Ajaran Law of Attraction tidak kurang mengundang kritikan juga daripada sebilangan netizen yang mendakwa konsep pemberian rezekinya bercanggah dengan ajaran Islam.

Mohd Masri Mohd Ramli, seorang pengkaji ilmu al-Quran dan al-Sunnah, menyatakan ajaran tersebut jelas bercanggah dengan apa yang telah diajar dalam Islam. Seperti mana yang disebutkan dalam Firman Allah dalam surah Yunus ayat ke-11;

Screenshot 2022 12 06 at 1.23.22 PM

Imam Ibnu Katsir menerangkan tentang ayat surah Yunus di atas menyebut, Allah memberitahu kepada hambaNya tentang kelembutanNya dengan hamba-hambaNya.

Dia tidak memakbulkan doa hamba-hambanya apabila mereka mendoakan keburukan ke atas diri mereka, harta mereka atau anak-anak mereka dalam keadaan mereka sedang marah. Allah tahu sebahagian daripada mereka tak maksudkan dengan apa yang mereka doakan. Oleh itu, tidak dimakbulkan doa keburukan tersebut.

“Dakwaan Allah mengabulkan semua bentuk doa tidak kira positif atau negatif merupakan satu fitnah keji yang dilemparkan kepada Allah. Ia merupakan satu SANGKA BURUK kepada Allah. Ia merupakan satu bentuk penafian kepada sifat-sifat dan nama-nama Allah yang mulia yang suci daripada segala kekurangan,” jelas Masri lagi.

Pseudosains sahaja?

Neil Farber, pakar psikologi dari Arizona State University ketika menjelaskan hakikat tentang Law of Attraction melabelnya sebagai pseudosains metafizik dengan kesimpulan yang berlandaskan andaian yang salah dan tidak berasas.

Menurut Farber, anekdot Bryne dipercayai pembaca kerana fenomena yang dipanggil ‘Survivorship Bias’. Orang ramai hanya cenderung untuk menceritakan kejayaannya sahaja berbanding kegagalan.

Analogi paling mudah yang dekat dengan jiwa orang Melayu adalah ‘petua’ orang-orang tua zaman dahulu. Contohnya petua tuan rumah mencampak kain baju ke atas bumbung rumah untuk mengelak dari berlakunya hujan agar kenduri yang dirancang dapat berjalan dengan lancar.

Apabila cuaca ternyata memihak kepada tuan rumah, maka ia akan disebarkan dari mulut ke mulut kerana beranggapan ia benar-benar berkesan. Tetapi seandainya hujan, pelakunya tidak akan bercakap dan menyebarkan kepada orang lain.

Konsep ini juga sama dengan amalan tertentu untuk memohon sesuatu hajat. Contohnya apabila menjelang peperiksaan, seseorang itu beramal dengan ‘zikir’ dengan kalimah tertentu, dalam jumlah tertentu, pada waktu tertentu, di tempat tertentu.

Apabila hajat tersebut ‘termakbul’, maka amalannya itu dianggap sebagai berkesan. Maka ‘amalan’ itulah yang dicanang dan dikongsikan kepada orang ramai, sedangkan asas utama kepada kejayaan tersebut iaitu berusaha, fokus semasa pembelajaran, mengulangkaji pelajaran dan mencari bahan rujukan telah dikesampingkan.

Kesimpulan

Selepas diteliti, tak dinafikan Law of Attraction ada kebaikan dan keburukannya. Kebaikannya? Ia mengukuhkan kepercayaan seseorang bahawa untuk berjaya, kena ada visi (niat, bayang), usaha dan tawakal (bersyukur). Ia memang dah konsisten dengan ajaran Islam.

Keburukannya mungkin terletak kepada budaya toxic positivity dan konsep doa yang termaktub dalamnya. Larangan bersangka buruk dalam ajaran ini sudah menghampiri intipati kumpulan ‘cult’.

Ajaran bahawa doa pasti dimakbulkan hanya jika anda bahagia, positif dan hanya fikirkan yang baik-baik sahaja? Ia jelas menyimpang dari sifat Allah yang Maha Mengetahui. Dalam surah Al Baqarah ayat ke-216, Allah berfirman maksudnya:

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”

Bacaan Lain Untuk Anda