Kes Viral Skin Dessert: HQ Senyap, Ejen Merana

TLDR: Kes menjadi viral apabila SIRIM menafikan pernah menjalankan sebarang pengujian terhadap produk Skin Dessert di post Facebook tulisan pengasasnya, Zirra Abdullah. Dalam post bertarikh 4 oktober 2022 tersebut, Zirra Abdullah memaklumkan produk Skin Dessert Repairing Moisturiser sedang diuji oleh SIRIM.

Latar belakang

Skin Dessert merupakan jenama produk kosmetik yang diasaskan oleh syarikat milik Zirra Abdullah dan suaminya (Aliff Kadir), Ailezee Rich Sdn Bhd. Bermula dengan mengusahakan butik busana pengantin sekitar 2013, Zirra kemudiannya beralih angin menjual produk kesihatan Aijuice Dossier (leader) dan produk kosmetik Sistho (stokis), Saka (young master) dan Sobella.

Sekitar April 2019, Zirra mula mengasaskan jenama kosmetiknya sendiri. Produk sulung Skin Dessert merupakan krim pelembap kulit Fresh Icing Treatment.

Screenshot 2022 11 14 at 2.02.24 PM min

Untuk mengedar produk Skin Dessert ke pasaran, Zirra membuka 40 slot Stokis Leader di seluruh Malaysia. 40 Stokis Leader ini mempunyai barisan stokis dan ejen di bawah mereka.

Reviu negatif Skin Dessert

Nama Skin Dessert mula menjadi sebutan netizen selepas salah seorang penggunanya memuat naik video kesan memakai produk tersebut. Pengguna tersebut memberitahu kulit mukanya mula ‘breakout’ selepas memakai produk Skin Dessert pakej baharu. “After product Skin D tu tukar packaging baru, sikit demi sedikit muka start breakout,” tulis pengguna tersebut.

@nrzzati._ Thank you Skin D 😞💔 Ini lah hasil selepas pakai. Hi warga TikTok, can u guys help me 😞💔 #breakout ♬ original sound – Alzera Geny Netriana

Ketika artikel ini ditulis, video yang dimuat naik pada 2 September 2022 itu mendapat 1 juta tontonan di TikTok. Di bahagian komen, ramai netizen memberitahu turut mendapat hasil sama selepas memakai produk moisturiser Skin Dessert pakej baharu.

“Hmm…betullah packaging baru ni problems”

“Ye awak. Selamai ni kalau kulit broken semua repair dengan Skin Dessert. Sekarang Skin Dessert pula yang problem.”

“Saya siap up status lagi nak yang packaging lama. Memang tak keluar dah. Sekarang tengah cuba yang baru. Rasa macam ok sikit. Tapi still breakout lagi.”

Difahamkan sebelum video tersebut viral lagi, moisturiser Skin Dessert sudah mendapat reviu kurang memuaskan dari pengguna-pengguna lain di TikTok. Cuma tak viral sahaja.

Susulan daripada video-video ini, barisan ejen dan stokis Skin Dessert (digelar Jemaah Skin Dessert) bertindak balas. Mereka memuat naik video hasil positif dengan tajuk sarkastik seperti ‘Skin Dessert makin teruk’, ‘Jangan pernah sesekali sapu kat muka’ dan yang sewaktu dengannya.

Zirra mengambil masa agak lama untuk bertindak balas. Hanya pada 26 September, barulah beliau membuat kenyataan pertama. “HQ sudah merujuk kepada peguam untuk tindakan selanjutnya,” tulis beliau di Facebook.

Screenshot 2022 11 14 at 2.44.18 PM min

Keesokan harinya, Zirra memuat naik respon dalam bentuk video. Dalam video berdurasi 7 minit itu, beliau menjelaskan moisturiser Skin Dessert mempunyai kesan berbeza kepada pengguna berbeza.

Screenshot 2022 11 14 at 2.53.17 PM min

Skin Dessert mula viral

Pada peringkat ini, isu reviu negatif Skin Dessert belum mencapai tahap viral. Isunya kecoh dalam kalangan penguna produk kosmetik dan usahawan kosmetik, tetapi masih belum menjadi bualan netizen secara umumnya.

Kemuncak isu ini tiba pada 5 Oktober 2022.

Pada 4 Oktober 2022, Zirra memuat naik gambar beliau dan suaminya di hadapan bangunan SIRIM. Turut mengiringi gambar tersebut adalah kemaskini dari Zirra bahawa moisturiser Skin Dessert sedang diuji keselamatannya oleh SIRIM.

Screenshot 2022 11 14 at 3.52.22 PM min

Keesokan harinya, pihak SIRIM membalas post pengasas Skin Dessert itu di ruang komennya dengan mesej, “SIRIM Berhad ingin menegaskan bahawa SIRIM Berhad tidak pernah menjalankan sebarang pengujian terhadap produk Skin Dessert.”

Komen dari SIRIM itu membuatkan post Zirra dan jenama Skin Dessert menjadi viral. Netizen menyerbu ruang komen post tersebut untuk menempelaknya.

Kredit kepada Zirra kerana di sebalik kecaman netizen, beliau tetap meneruskan bisnesnya seperti biasa. Tetapi segalanya berubah pada 23 Oktober 2022 apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membatalkan notifikasi produknya kerana dikesan mengandungi racun merkuri.

Susulan kenyataan KKM itu, Skin Dessert mengeluarkan memo rasmi akan menghentikan pengeluaran Cream Moisturiser Treatment dan menggantikannya dengan produk baharu, Repairing Moisturiser.

Screenshot 2022 11 14 at 3.15.14 PM min

Strategi Skin Dessert ini bagaimanapun gagal mengembalikan keyakinan pengguna. Menurut salah seorang ejen Skin Dessert yang kami hubungi, penggantian moisturiser ini tidak menyelesaikan masalah.

“Moisturiser lama (Cream Moisturiser Treatment) memang HQ dah bagi bukti ujian makmal. Sebab itu saya berani jual. Produk tak berdaftar dan tiada ujian makmal, memang saya takkan jual.

“Memang HQ dah hentikan pengeluaran moisturiser lama (Cream Moisturiser Treatment) sejak bulan 12 tahun lepas. Tapi moisturiser lama itulah yang customer kata berkesan. Customer suka.

“Bila masuk moisturiser baharu pada awal bulan 8 tahun ini, kebanyakan customer tak serasi walaupun ada ujian makmal, sijil halal dan SIRIM. Itu sebab saya stop jual dan nak refund.

“Tak cukup dengan itu, timbul pula isu bekas moisturiser baharu itu sama sahaja dengan bekas moisturiser lama. Cuma sticker sahaja berbeza. Isu ini membuatkan customer hilang kepercayaan lagi dengan Skin Dessert.

@__arianaarahman #skindessert #merkuri ♬ bunyi asal – Nyap tahuk

“Belum masuk lagi isu moisturiser baharu membuatkan kulit customer ada masalah. Moisturiser lama yang orang suka, KKM kata ada merkuri pula.

“Jadi inilah masalah kami sebagai ejen. Moisturiser lama sutomer suka, tapi ada racun. Moisturiser baharu tak ada racun, tapi customer tak suka. Susah kami nak habiskan stok,” jelasnya yang enggan dinamakan.

Menurutnya lagi, kenyataan KKM itu membuatkan jenama Skin Dessert tercemar. “Selepas kenyataan KKM itu, customer dah tak beli sangat dah produk-produk Skin Dessert lain. Walaupun hanya moisturiser lama yang beracun,” tambahnya.

Apa berlaku sekarang

Difahamkan pihak HQ belum memberikan apa-apa respon lagi mengenai permintaan refund daripada stokis dan ejen.

Semua akaun media sosial Zirra (Facebook, TikTok, Instagram dan Telegram) tidak lagi aktif. Begitu juga dengan semua akaun media sosial suaminya. Kali terakhir Zirra mengemaskini media sosialnya adalah pada 29 Oktober 2022; satu perbuatan yang janggal bagi seorang pemilik produk yang sebelum ini sangat aktif di media sosial.

Semoga pihak HQ Skin Dessert dapat menyelesaikan masalah ini secara baik-baik dengan semua ejen dan stokis mereka, sebagaimana yang telah dilakukan oleh HQ Asyalliee Scarves dalam kes mereka.

Bacaan Lain Untuk Anda