Cara Pilih Nama Perniagaan Sesuai Supaya SSM Tak Reject

Memilih nama perniagaan yang sesuai merupakan langkah pertama menubuhkan perniagaan anda sendiri. Nama yang sesuai membolehkan perniagaan kita mudah diingati pelanggan, sekaligus mengatasi persaingan.

Nama perniagaan merupakan gaya atau tajuk yang digunakan bagi pengenalan sesuatu perniagaan yang dijalankan.

Nama perniagaan boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu:

(a) Nama sendiri: Menggunakan nama seperti di dalam kad pengenalan. Kategori ini tidak perlu semakan untuk kelulusan. Contoh Ruslan Bin Mohamad, Lee Ying Fei dan Sharmila A/P Avaniappan.

(b) Nama tred: Nama perniagaan yang dicadangkan dan perlu mendapat kelulusan Pendaftar Perniagaan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) terlebih dahulu. Contoh Kedai Dobi Mewah, Lucky Star Catering dan ABS Unggul Enterprise.

Prosedur Permohonan Nama Perniagaan

(a) Permohonan untuk carian nama mesti dibuat menggunakan Borang PNA42. Borang permohonan hendaklah diisi dengan lengkap.

(b) Jika nama yang dipohon mengandungi perkataan yang memerlukan kelulusan YB Menteri, Pemohon perlu melengkapkan maklumat dan melampirkan dokumen sokongan untuk kelulusan YB Menteri.

Undang-Undang Tertakluk

Menamakan perniagaan mestilah tidak bertentangan dengan perlembagaan, undang-undang dan tidak mempunyai unsur negatif. Nama perniagaan tidak boleh menggunakan perkataan yang dilarang oleh
undang-undang berikut:

(a) Kaedah 15, Kaedah-kaedah Pendaftaran Perniagaan 1957 (Lihat perkara 5);
(b) Warta Kerajaan Bil. 716, Akta Syarikat 1965 (Lihat perkara 6); dan
(c) Peruntukan undang-undang lain mengenai larangan penggunaan perkataan tertentu tanpa kebenaran pihak yang mentadbir dan mengawalselia undang-undang berkenaan.

Cara Memilih Nama Perniagaan Sesuai

1. Penggunaan Bahasa Dan Ejaan Yang Betul

(a) Nama perniagaan yang sesuai menggunakan laras bahasa dan ejaan yang betul. Penggunaan campuran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris adalah dibenarkan jika penggunaannya adalah untuk menggambarkan jenis perniagaan dan mestilah mengikut laras Bahasa yang betul;

Contoh:
Padu Construction bukan Construction Padu
Kedai Dobi Power bukan Power Kedai Dobi

(b) Sekiranya nama mengandungi perkataan yang bukan dari Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris atau rekaan, makna atau asal usul perkataan tersebut hendaklah diberikan.

2. Nama Yang Tidak Terlalu Umum

Nama perniagaan yang sesuai mempunyai nama identiti dan tidak terlalu umum. Nama adalah dianggap umum jika menggunakan perkataan biasa (common words) atau hanya menunjukkan aktiviti;

Contoh:
Technology Resources

3. Tidak Menyerupai Nama Perniagaan Yang Telah Didaftarkan Atau Dalam Simpanan

Nama Perniagaan adalah dikatakan sama/serupa jika hanya dibezakan oleh penggunaan perkataan atau simbol yang berikut:

(a) Simbol “&” atau huruf/abjad “N”, atau perkataan “dan” atau “and”;

Contoh:
Light & Easy Trading = Light N Easy Trading
Light and Easy Trading = Light Easy Trading

(b) Penggunaan simbol “.” (noktah) atau ”-“ (sempang);

Contoh:
A-B-C Trading = A.B.C. Trading
ABC Resources = A.B.C. Resources

(c) Mengandungi perkataan-perkataan yang membawa maksud yang sama;

Contoh:
Builder= Build
Forwarding = Forwarders

(d) Perbezaan daripada segi kata ganda (Plural Version) atau kata imbuhan;

Contoh:
ABC Services = ABC Service
ABC Technology = ABC Technologies
ABC Publish = ABC Publishing
ABC Trade = ABC Trading

(e) Perbezaan hanya perkataan “New” atau “Baru”;

Contoh:
Golden Dynamic Trading = New Golden Dynamic Trading
Perusahaan Dinamik = Perusahaan Dinamik Baru

(f) Nama Perniagaan adalah dianggap berbeza dan tidak sama jika mempunyai perbezaan huruf atau susun kata;

Contoh:
Blue Star Trading tidak sama dengan Star Blue Trading
CM World Trading tidak sama dengan CMT World Trading
MCY Tech tidak sama dengan MYC Tech

(g) Perkataan biasa yang digabungkan adalah dianggap perkataan biasa dan tidak sama jika keseluruhan nama tidak sama;

Contoh:
Setiabudi Maju Services tidak sama dengan Setiabudi Jaya Services

4. Bukan Nama-Nama Yang Kurang Sopan, Menghina atau Mengelirukan Dari Segi Identiti Dan Objek

Nama perniagaan yang sesuai tidak mengandungi atau mempunyai unsur-unsur berikut:

(a) Nama yang mempunyai unsur-unsur nama yang lucah atau dianggap menghina atau mencerca; dan
(b) Sesuatu nama dianggap mengelirukan dari segi identiti dan objek jika nama yang dipohon tidak seiring dengan jenis perniagaan;

Contoh:
Restoran Maju (Menjalankan aktiviti menjual pakaian)
Karate Academy (Menjalankan aktiviti menjual makanan)

5. Mematuhi Prinsip-Prinsip Umum Lain Yang Ditetapkan

(a) Perkataan yang menyentuh atau melambangkan unsur-unsur keagamaan atau kepercayaan atau melambangkan unsur sesuatu agama tidak dibenarkan;

Contoh:
Alkarim, Alqudus , Almuhaimin
Lord Sri Shiva Resources
Mekah Great God Enterprise

(b) Penggunaan nama diri dibenarkan dalam keadaan berikut:

  • Penggunaan nama tokoh-tokoh terkenal perlu mendapat kebenaran daripada individu berkenaan atau waris;
  • Nama-nama yang dikaitkan dengan tokoh sejarah dalam dan luar negara yang sedia dikenali umum di bidang masing-masing seperti nama Ibnu Sina, Cheng Ho, Marco Polo, Raffles, Parameswara, Hang Tuah dan seumpamanya;
  • Nama yang merujuk kepada nama diri pemilik nama individu yang bersesuaian;
  • Menggunakan nama penuh pemilik sahaja dibenarkan sekiranya nama mengandungi perkataan yang diwartakan seperti Putera/Puteri/ Raja (contoh: Raja Gopal a/l Muthusamy Enterprise bukannya Raja Enterprise);

(c) Nama yang mengandungi perkataan yang boleh dikelirukan sebagai jenis identiti di bawah undang-undang atau NGO/NPO seperti “Company”, “Co.” “Corporation”, “Perbadanan”, “Syarikat”’ “Yayasan”, “Foundation”’ “Kelab”, “Persatuan” dan lain-lain seumpamanya tidak dibenarkan digunakan sebagai nama perniagaan;

(d) Tidak dibenarkan menggunakan nama yang ada kaitan dengan singkatan nama badan-badan berkanun, syarikat-syarikat atau agensi kerajaan termasuk:

  • Singkatan nama institusi-institusi pengajian tinggi;

Contoh: UiTM, UTM, UM, UKM, UPM, UUM, USM, UIA, UNIMAS, UMS, UIAM,UPSI,UMT,UMP,UTEM,UNIMAP dan lain-lain seumpamanya.

  • Singkatan nama agensi-agensi kerajaan Persekutuan atau Negeri dan Syarikat Milik Kerajaan (GLC);

Contoh: SSM, CCM, JKR, JPA, JPM, BNM, KPDNKK, SEDC, PKEN, SIRIM, TNB, PNB, FELDA, FELCRA, PETRONAS, SKM, MYCC, MIDA, KWSP, LHDN, PERKESO, MARDI, RISDA dan seumpamanya.

(e) Tidak dibenarkan menggunakan perkataan yang dikawal dan dihadkan penggunaan kerana kepentingan nasional atau awam termasuk:

  • Perkataan-perkataan daripada slogan-slogan kerajaan seperti “ 1Malaysia”, “Wawasan 2020”, “Malaysia Boleh” dan lain-lain yang diperkenalkan dari semasa ke semasa; dan
  • Nama singkatan yang boleh dikelirukan dengan nama-nama syarikat multi-nasional yang dikenali umum seperti PNB, ICI, Kulim Hi-Tech “Cyber” MSC / Multimedia Super Corridor” atau “Koridor Raya Multimedia” dan lain-lain;

(f) Nama-nama yang ada kaitan dengan aktiviti-aktiviti yang dikawal oleh agensi pekerjaan atau oleh sesuatu profesion yang tidak dibenarkan;

Contoh: Arkitek, Jurutera, Doktor, Farmasi dan lain-lain

(g) Penggunaan simbol dibenarkan dalam nama perniagaan kepada 5 simbol sahaja dan mestilah bersesuaian dengan penggunaannya iaitu:

  • Simbol “&” atau huruf “N” untuk menggantikan perkataan “dan”, “and” (contoh: D&T Services)
  • Simbol “.” ( “noktah”) (contoh: A.B.C Trade)
  • Simbol “-“ (sempang/hyphen). Dibenarkan hanya bagi perkataan yang sememangnya berbentuk kata ganda. Contoh: Kupu-Kupu Design, Focus Re-Engineering

Perkataan yang mempunyai unsur jamak tidak perlu digandakan kerana tanpa menggandakan sudah memadai untuk menunjukkan jamak;

Contoh:
Kedai Barang Logam Jati
Pusat Alat Sukan Kencana

  • Simbol “( )” tanda kurungan. Penggunaan tanda kurungan dibenarkan dalam keadaan dan maksud yang sesuai. Contoh: ZY Advertising (2014), ZY Advertising (Bangsar)
  • Simbol “ ’ ” ( “apostrophe”) dibenarkan bagi penggunaan yang sesuai. Contoh: Dato’ Afiq Success Construction, Sa’diah Binti Muhammad Enterprise

(h) Penggunaan angka/nombor (Numeric) dibenarkan bagi penggunaan yang bersesuaian;

Contoh:
123 Maju Enterprise
Maju Hijau 1 Enterprise

(i) Penggunaan huruf/abjad (Alphabet) dibenarkan bagi penggunaan yang sesuai;

Contoh:
ABCY Construction
ABCY Trading
CNMM Development

(j) Perkataan “Malaysia” atau nama negeri di awal nama tidak dibenarkan kecuali terdapat kepentingan Kerajaan Persekutuan/Negeri atau mendapat persetujuan dari pihak yang berkenaan;

Contoh:
Malaysia Handicraft Center
Malaysia Trading

Perkataan ini boleh digunakan dalam keadaan berikut :

Contoh:
Atiqah Kain Songket Terengganu

(k) Gabungan nama/perkataan yang mengandungi perkataan yang diwartakan hendaklah mendapat kelulusan YB Menteri;

Contoh:
DanaRakyat Consultant
RoyalHotel

(l) Penggunaan nama tempat hendaklah diikuti dengan keterangan perniagaan; dan

Contoh :
Teluk Intan Marketing
Ipoh Sweet & Candy Store

(m) Penggunaan semula nama perniagaan yang telah luput/ditamatkan:

  • Dibenar selepas 12 bulan dari tarikh tamat tarikh atau luput perniagaan tersebut; dan
  • Dibenar tanpa had jika perniagaan telah ditamatkan melalui Borang C.

6. Mematuhi KAEDAH 15, KAEDAH-KAEDAH PENDAFTARAN PERNIAGAAN 1957

Antara nama-nama perniagaan yang tak sesuai tetapi boleh diluluskan SSM dengan syarat kelulusan Menteri adalah:

(a) Mengandungi mana-mana perkataan yang mencadangkan perhubungan dengan Yang di Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong atau Raja sesebuah Negeri atau seorang kerabat Diraja atau naungan diraja termasuk perkataan-perkataan “Diraja” atau mana-mana ungkapan persamaan yang mengandungi makna yang sama;

(b) Mengandungi mana-mana perkataan yang mencadangkan perhubungan dengan Jabatan Kerajaan Persekutuan atau Negeri, badan berkuasa, pihak berkuasa atau agensi atau mana-mana perbadanan atau lain-lain pihak berkuasa tempatan, termasuk perkataan-perkataan seperti “Persekutuan”, “Negeri” atau “Kebangsaan”;

(c) Mengandungi mana-mana perkataan yang mencadangkan perhubungan dengan mana-mana kerajaan Asean, Komenwel atau lain-lain kerajaan asing atau dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau lain-lain organisasi antarabangsa;

(d) Mengandungi perkataan-perkataan “Chartered” atau mana-mana perkataan-perkataan yang mencadangkan perhubungan dengan mana-mana Pertubuhan atau badan yang diperbadankan oleh “Royal Charter”;

(e) Mengandungi perkataan-perkataan “Persatuan” “Kesatuan”, “Yayasan”, “Amanah”, “Angkatan”, “Koperasi”, “Antarabangsa” atau mana-mana ungkapan yang mengandungi makna yang sama;

(f) Mengandungi mana-mana perkataan yang buruk atau yang mungkin menyinggung perasaan masyarakat;

(g) Mengandungi mana-mana perkataan yang mengelirukan tentang jenis, skop atau kepentingan perniagaan yang dijalankan atau yang akan dijalankan di bawah nama tersebut;

(h) Mengandungi mana-mana perkataan yang menyinggung perasaan mana-mana kaum atau agama.

Pendaftar dengan kebenaran Menteri boleh menghadkan penggunaan apa-apa nama lain yang pada pendapatnya adalah tidak wajar dan Pendaftar hendaklah menyebabkan nama-nama tersebut disiarkan di dalam Warta.

7. Mematuhi WARTA KERAJAAN BIL 716 BERTARIKH 30 JANUARI 1997

Menurut peruntukan di bawah seksyen 22(1) dan 341 Akta Syarikat 1965, Menteri mengarahkan Pendaftar Syarikat supaya tidak menerima untuk pendaftaran nama sesebuah syarikat atau syarikat asing sekiranya nama itu suatu nama ataupun nama daripada jenis yang disebutkan di dalam Jadual melainkan kelulusan Menteri telah diperolehi terlebih dahulu.

(a) Nama-nama yang membayangkan kaitan dengan ahli Keluarga Diraja atau naungan Diraja termasuk nama-nama yang mengandungi perkataan seperti ”Diraja”, “Raja”, “Permaisuri”, “Putera”, “Puteri”, “Mahkota”, “Raja Muda” atau “Yang/Maha Mulia”;

(b) Nama-nama yang membayangkan kaitan dengan sesuatu Jabatan Kerajaan Negeri atau Persekutuan, badan berkanun, pihak berkuasa atau agensi kerajaan atau mana-mana majlis perbandaran ataupun pihak berkuasa tempatan yang lain termasuk nama-nama yang mengandungi perkataan-perkataan seperti “Persekutuan”, “Negeri” atau “Nasional”;

(c) Nama yang membayangkan kaitan dengan sesuatu Kerajaan Negara Asean, Komanwel atau kerajaan asing atau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau mana-mana pertubuhan antarabangsa atau kartel termasuk nama yang mengandungi perkataan seperti “ASEAN”, “UNESCO”, “NATO”, “EEC” atau “OPEC”;

(d) Nama yang membayangkan kaitan dengan sesuatu parti politik, pertubuhan, kesatuan sekerja, koperasi atau persatuan pembinaan;

(e) Nama yang termasuk perkataan yang berikut atau apa-apa perkataan yang sama maksud dengannya: “Amanah”, “Amanah Saham”, “Bank”, “Bursa”, “Bumiputra”, “Biro”, “Buatan Malaysia”, “Dewan Perniagaan dan Perindustrian”, “Dewan Pengeluaran”, “Eksekutor”, “Harga Patut”, “Institut”, “Insurans”, “Jaminan”, “Jurubank”, “Kewangan”, “Khazanah”, “Kredit”, “Kolej”, “Majlis”, “Pengguna”, “Pelaburan”, “Pejabat Pendaftaran”, “Pajakan”, “Perdana”, “Tauliah”, “Tabung”, “Universiti”, “Urusan Bank” atau “Yayasan”;

(f) Nama yang mengelirukan dari segi identiti, jenis, objek atau tujuan sesebuah syarikat atau yang mengelirukan dengan apa jua cara lain;

(g) Nama yang mencerca atau yang mungkin dianggap menghina oleh orang-orang awam; dan

(h) Nama yang –

  • diterjemahkan daripada nama syarikat atau syarikat asing yang didaftarkan di bawah Akta; atau
  • mungkin menyerupai ataupun dikelirukan dengan nama mana-mana syarikat tempatan atau syarikat asing lain yang didaftarkan di bawah Akta; atau
  • mungkin menyerupai ataupun dikelirukan dengan nama yang telah disimpan bagi tujuan penubuhan suatu syarikat baru atau pendaftaran suatu syarikat asing ataupun bagi tujuan penukaran nama suatu syarikat tempatan atau syarikat asing yang didaftarkan di bawah Akta.

Sumber: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)

Bacaan Lain Untuk Anda