Cabaran Menara Spaghetti: Mengapa Syarikat Anda Tak Perform?

Sebelum kita meneliti apa itu cabaran menara spaghetti, mari kita mulakan dengan satu soalan: Kenapa sesebuah syarikat lebih berjaya daripada syarikat lain yang menjual produk sama?

Kenapa sesebuah pasukan lebih berjaya daripada pasukan lain yang bermain sukan sama?

Kenapa sesebuah kumpulan lebih berjaya daripada kumpulan lain ketika menyelesaikan satu cabaran yang sama?

Pada tahun 2014, jurutera Peter Skillman berminat untuk tahu jawapannya. Jadi beliau melakukan siri eksperimen selama beberapa bulan. Metodologi eksperimennya mudah. 4 individu dikumpulkan dalam satu kumpulan. Setiap kumpulan mesti membina sebuah menara setinggi yang mungkin, dalam masa 20 minit, dengan hanya menggunakan bahan-bahan berikut:

  • 20 batang spaghetti mentah
  • 1 ela selotape
  • 1 ela tali
  • 1 biji marshmallow

Itu sahaja.

Cabaran Menara Spaghetti ini hanya mempunyai satu peraturan: marshmallow kena berada paling atas sekali.

Skillman menguji banyak kumpulan untuk melengkapkan cabaran ini. Ada kumpulan dianggotai oleh jurutera. Ada kumpulan dianggotai oleh CEO. Ada kumpulan dianggotai oleh pelajar sekolah bisnes. Ada kumpulan dianggotai oleh budak tadika.

Ketika eksperimen dijalankan, kumpulan pelajar sekolah bisnes memulakan cabaran dengan berbincang strategi dulu. Mereka belek-belek bahan. Mereka kaji idea daripada setiap ahli, tanya soalan-soalan bijak. Mereka mempertimbangkan beberapa pilihan reka bentuk sebelum bersepakat dengan satu reka bentuk yang paling praktikal.

Proses kerja mereka sangat profesional, rasional dan tersusun. Cara mereka bekerja menghasilkan satu strategi yang disepakati bersama. Kemudian mereka bahagi-bahagikan tugas dan mula membina menara spaghetti mereka.

Bagaimana budak tadika melakukan cabaran Menara Spaghetti

Budak tadika pula mengambil pendekatan sangat berbeza. Mereka tak buat strategi langsung. Mereka tak buat analisa atau berbincang. Mereka tak tanya soalan, beri cadangan atau kaji idea.

Malah sepanjang proses, mereka tak banyak bercakap. Sebaliknya mereka terus melompat ke proses membina. Bila mereka bercakap, mereka bercakap dalam ayat pendek: “Kat sini! Bukanlah, kat sini!” Proses mereka melengkapkan cabaran ini nampak macam tembak rambang. Main cuba sahaja.

Cuba teka menara siapa paling tinggi?

Kalau anda kena teka, besar kemungkinan anda teka menara kumpulan pelajar sekolah bisnes paling tinggi. Sebab mereka ada ilmu, skil dan pengalaman. Cara mereka kerja ada sistem, tersusun dan berdemokrasi. Ini memang anggapan biasa bila kita menganalisa output sesebuah kumpulan. Kita anggap sekumpulan orang pandai akan hasilkan produk terbaik. Sama macam kita anggap 2+2 sama dengan 4.

Tapi tekaan anda salah. Dalam berdozen-dozen cubaan, kumpulan budak tadika menghasilkan menara berketinggian purata 26 inci. Paling tinggi berbanding kumpulan lain. Lebih tinggi daripada menara kumpulan jurutera. Menara kumpulan pelajar sekolah bisnes pula berketinggian purata kurang 10 inci – paling rendah dalam semua kumpulan.

menara spaghetti 1

Susah nak percaya, kan?

Masakan pelajar universiti, jurusan bisnes pula, tak boleh membina menara spaghetti lebih tinggi daripada budak tadika? Tapi eksperimen ini membuktikan ia hanya ilusi. Dalam ilusi ini, naluri kita suruh kita fokus kepada perincian yang salah.

Proses budak tadika vs pelajar sekolah bisnes

Kita ingat kalau sesebuah kumpulan nak berjaya, skil individu sangat penting. Walhal tidak. Kejayaan sesebuah kumpulan, sebenarnya, terletak kepada komunikasi antara ahli kumpulan.

Bila Skillman meneliti semula cara kumpulan pelajar sekolah bisnes buat kerja, mereka nampak berkolaborasi. Tapi sebenarnya mereka sibuk cari status diri sendiri dalam kumpulan.

Siapa ketua kumpulan?
Siapa paling pandai?
Siapa ada pengalaman buat tugasan ini?
Boleh tak aku kritik idea dia?
Boleh tak dia terima idea aku?

Komunikasi mereka nampak lancar, tapi ia penuh dengan ketidakcekapan (inefficiencies), teragak-agak dan protokol. Atau mengikut cakap ahli psikologi: pengurusan status. Ketika mereka sepatutnya fokus membina menara, mereka fokus kepada status mereka dalam kumpulan.

Mereka banyak buang masa urus status mereka dalam kumpulan, bukannya fokus kepada masalah utama kumpulan iaitu: marshmallow berat, spaghetti mentah pula susah nak berdiri. Akhirnya masa mereka untuk membina menara jadi suntuk.

Cara budak tadika bekerja mungkin nampak tak tersusun dari luaran. Tapi bila kita tengok mereka sebagai satu entiti, cara mereka cekap dan efektif. Mereka tak fikir pun soalan-soalan status seperti: Siapa ketua kumpulan? Siapa paling pandai?

Mereka terus usulkan idea, waima sebodoh mana pun, untuk mencapai objektif kumpulan. Mereka bekerja dengan pantas. Bila silap, mereka buat semula, tolong antara satu sama lain. Mereka berani ambil risiko.

Mereka siap tanya Skillman sama ada mereka boleh dapatkan bahan binaan lain dan lebih banyak spaghetti mentah. Skillman menjawab, “Tidak boleh.” Ini pemerhatian menarik memandangkan semua kumpulan orang dewasa tak tanya langsung sama ada mereka boleh ‘langgar peraturan’. Hasilnya menara budak tadika jauh lebih tinggi daripada menara orang dewasa yang lebih berilmu, berskil dan berpengalaman.

menara spaghetti 4

Budak tadika berjaya dalam cabaran Menara spaghetti ini bukan kerana mereka pandai. Mereka berjaya kerana mereka cekap bekerja dalam kumpulan. Budak tadika mengajar kita bahawa kepandaian individu tak semestinya menghasilkan output terbaik dalam kumpulan.

Jadi apakah pengajaran yang boleh kita, sebagai usahawan, boleh ambil daripada eksperimen ini?

1. Jangan buang masa cari/tunjuk kuasa ketika cuba selesaikan masalah syarikat

2. Jangan buang masa bincang tentang masalah. Terus langkau ke langkah paling penting: selesaikan masalah

3. Jangan takutkan kegagalan ketika cuba menyelesaikan masalah. Kegagalan akan memberi kita petunjuk ke mana haluan ke arah solusi

4. Solusi terbaik terhasil selepas melalui beberapa iterasi. Gagal, betulkan. Gagal lagi? Betulkan lagi? Ulang sampai dapat solusi yang kita nak

menara spaghetti 3

5. Jangan takut ‘langgar’ peraturan/pantang-larang jika ia dibolehkan.

Anda boleh tengok perkongsian eksperimen Menara Spaghetti ini dari Peter Skillman sendiri melalui video ini:

Bacaan Lain Untuk Anda