Menjadi pengasas produk atau founder bukanlah sesuatu yang mudah. Menghasilkan produk yang berkualiti tinggi merupakan suatu cabaran besar. Apabila barangan yang dihasilkan berjaya disiapkan, muncul pula masalah di mana para pengasas terpaksa bekerja keras dalam memastikan produk dapat terjual di pasaran dalam usaha meraih keuntungan. Oleh yang demikian, dapat dilihat para pengusus khususnya pengasas produk yang menjalankan bisnes secara kecil-kecilan atau SME memilih untuk menggunakan sistem ejen dalam membantu menjual sesebuah produk.
Menerusi sistem ejen, para individu yang berminat bakal dipilih dan ditapis. Pemilihan menerusi negeri atau meletakkan kuota jumlah ejen antara yang dilakukan pihak pemilik bisnes dalam mengelakkan berlaku masalah penjualan di kalangan ejen. Dalam pada itu, perlu diketahui di mana ejen juga sentiasa terdedah kepada pelbagai tawaran produk yang lain yang mungkin menawarkan keuntungan produk yang lebih tinggi sekaligus membuatkan para ejen beralih kepada bisnes yang lain. Tindakan yang dilakukan mungkin akan memberi impak kepada jumlah jualan sesebuah produk.
Pada kali ini, kami akan kongsikan secara umum kepada para pemilik bisnes, 5 tip untuk memastikan ejen yang dipilih setia bersama bisnes anda.
#1 Kerap membuat perbincangan
Jika pada masa dahulu, para ejen serta pemilik bisnes berlaku berkumpul di sebuah tempat untuk berbincang atau menjalankan meeting, kini tidak lagi sejak popularnya aplikasi Zoom Meeting. Menerusi perbincangan yang dijalankan, para pemilik bisnes boleh berkongsi ilmu mengenai pemasaran, cara close sale atau cara mendapatkan dropshipper kepada para ejen dalam usaha dalam mencapai jumlah jualan yang tinggi. Hal ini sekaligus dapat menguntungkan para pemilik bisnes dan juga para ejen.
Selain itu, para pemilik boleh juga menggunakan peluang tersebut dalam menyuntik semangat para ejen untuk terus kekal produktif serta fokus terhadap produk yang dijual. Perbincangan secara dua hala antara yang dicadangkan di mana para ejen juga dapat berkongsi kepada pemilik bisnes masalah yang dihadapi. Hal ini sekaligus dapat memberi idea kepada pemilik bisnes dalam menghasilkan produk yang lebih baik atau memperbaiki sistem sedia ada.
#2 Berkongsi gambaran jelas hala tuju ejen
Sekiranya ejen tersebut berjaya mencapai jualan atau terdapat individu yang baru sahaja dilantik menjadi ejen, sudah pastinya mereka berkeinginan untuk melangkah ke kehidupan yang lebih baik. Di sinilah tugas pemilik bisnes dalam berkongsi kepada para ejen hala tuju syarikat. Dalam erti kata lain, pemilik bisnes boleh berkongsi mengenai jangka hayat produk, perancangan untuk tahun-tahun seterusnya dan sebagainya.
Bukan itu sahaja, bagi memotivasikan para ejen, pemilik bisnes juga boleh memilih ejen yang bekerja keras dan menunjukkan hasil untuk dilantik sebagai partner syarikat. Hal ini secara tidak langsung memberi peluang kepada pemilik bisnes untuk mendapatkan individu yang boleh dipercayai berdasarkan usaha-usaha yang ditunjukkan.
#3 Rajin ‘turun padang’ dan bertanya khabar kepada para ejen
Harus diingat, meskipun ejen merupakan antara saluran untuk melariskan produk sekaligus meningkatkan kewangan syarikat, perlu diketahui di mana ejen bukanlah robot. Dalam erti kata lain, rajin-rajinlah untuk mesej secara terus kepada mana-mana ejen dalam bertanyakan mengenai perjalanan bisnes, masalah yang dihadapi serta memberi solusi. Perkara ini bukan sahaja membuatkan para ejen lebih bersemangat, malah turut membuatkan mereka merasa diri mereka dihargai sekaligus membuatkan mereka sedia untuk berkorban untuk bekerja dengan lebih keras.
#4 ‘Promosikan’ ejen anda
Sebut mengenai promosi, anda boleh melakukannya dengan berkongsi ejen-ejen anda menerusi lokasi mereka dalam memudahkan pelanggan mendapat produk. Lebih kreatif, anda boleh melawat lokasi ejen anda serta bergambar dan tag mereka di laman media sosial agar orang ramai dapat mengenali ejen anda.
Jangan takut untuk memaparkan ejen anda yang berjaya membuat jualan yang tinggi di media sosial kerana perkara tersebut dapat memberi motivasi kepada ejen berkenaan. Meskipun terdedah kepada isu ejen mungkin ‘dilamar’ pengasas produk lain, menerusi motivasi, skil, ilmu serta keuntungan yang ditawarkan, mungkin membuatkan agen tersebut berpihak untuk terus setia bersama bisnes anda.
#5 Tawarkan hadiah buat ejen anda
Khusus buat ejen yang membawa keuntungan yang besar kepada syarikat, tidak ada salahnya untuk anda berikan hadiah atau reward kepada mereka. Malah, anda sebagai pemilik bisnes juga perlu kreatif dalam menaikkan semangat dan usaha para ejen dengan menjalankan pertandingan atau KPI tertentu di mana mereka yang berjaya mencapai KPI bakal dihadiahkan dengan sesuatu yang berbaloi. Meskipun pemilik bisnes perlu melabur sedikit wang untuk mendapatkan hadiah, yakinilah perkara ini dapat membuatkan para agen lebih bersemangat sekaligus berminat untuk terus setia demi syarikat.
Berikut merupakan lima tip secara umum bagaimana pemilik bisnes dapat ‘mengikat’ para ejen untuk terus setia bersama syarikat. Sememangnya bukan sesuatu yang mudah, namun dengan dorongan dan langkah yang betul, pastinya para ejen juga selesa untuk berkhidmat dalam tempoh yang panjang bersama pemilik bisnes yang mengambil berat mengenai mereka.